Tuesday, May 17, 2011

Harumanis...

Tanam Harumanis serentak untuk rekod - Raja Perlis

18/05/2011 12:17pm

KANGAR - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyarankan supaya satu kegiatan yang berimpak besar seperti menanam mempelam Harumanis terbanyak dilaksanakan untuk dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBR).
Titah baginda, pada tahun ini dua kegiatan di Perlis telah dicatat dalam MBR iaitu kegiatan menumbuk sambal belacan terbanyak dan yang terbaru persembahan kek terbanyak sempena sambutan hari keputeraan baginda yang ke-68 Rabu lalu.
Sebanyak 1,200 penduduk berkumpul di Kampung Banir Tembus sempena Festival D’Bendang pada Mac lalu untuk menumbuk sambal belacan yang kemudian dicatat sebagai aktiviti menumbuk sambal belacan terbanyak manakala pada Rabu lalu, sebanyak 1,168 kek dipersembahkan kepada baginda yang dicatat sebagai persembahan kek terbanyak sempena hari keputeraan.
Bertitah pada majlis santapan negeri sempena sambutan hari keputeraan baginda di Istana Arau malam tadi, baginda yakin walaupun kegiatan seumpama itu secara tidak langsung memperkenalkan kehebatan Perlis, namun baginda tetap berharap kegiatan yang lebih berimpak besar dapat dianjurkan.
Baginda menyarankan kegiatan menanam Harumanis terbanyak secara serentak dianjurkan kerana ia lebih memberi manfaat terutama bagi meningkatkan pengeluaran komoditi itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment